Archive for January, 2008
Ebook percuma - How to Develop Money-Making Niche Sites with Wordpress

Ebook ini ditulis oleh Caroline Middlebrook iaitu seorang software developer dari UK. Dalam ebook ini, beliau menerangkan bagaimana membina laman web mini untuk menjana pendapatan menggunakan wordpress. Apa yang kita tahu wordpress merupakan software untuk blog tetapi Caroline telah menggunakannya untuk menghasilkan laman web statik.
Ebook ini mempunyai 41 muka surat dan berikut adalah ringkasan isi kandungannya
* Chapter 1: Getting and Installing WordPress
* Chapter 2: Basic WordPress Administration. 10
* Chapter 3: Installing a New Theme. 13
* Chapter 4: Setting up Adsense On Your Site. 16
* Chapter 5: WordPress Plugins. 20
* Chapter 6: Creating Your Site Content
* Chapter 7: Final Thoughts
* Appendix 1: Uploading Using FTP.. 33
* Appendix 2: External Resources
Saya masih lagi belum habis membacanya tapi dari beberapa muka surat awal saya rasakan yang ebook ini memang bagus.
Anda boleh memuat turun ebook tersebut secara percuma di laman web Caroline Middlebrook.

Identiti laman web
Setiap laman perlu mempunyai identiti tersendiri supaya kehadiran laman web tersebut benar-benar dirasai. Identiti laman web mungkin terdiri dari topik, reka bentuk, gaya penulisan, fungsi dan sebagainya. Jika kita perhatikan, laman web yang mempunyai identiti tersendiri ini biasanya berjaya dan mempunyai pengikutnya tersendiri. Contohnya YouTube, Flickr, Digg dan sebagainya. Banyak laman web lain yang cuba mengikut konsep yang diperkenalkan oleh laman web tersebut tetapi biasanya tidak dapat menandingi laman web yang asal kerana tidak mempunyai identiti tersendiri.
Jadi disitu dapat kita lihat betapa besarnya peranan identiti kepada setiap laman web. Proses menentukan identiti ini bermula daripada sebelum kita mendaftar domain. Sebelum membina satu laman web kita akan membuat perancangan tentang apakah topik laman web yang akan kita buat. Dan seterus domain yang didaftarkan juga mestilah bersesuaian. Selepas itu kita akan menentukan konsep rekabentuk dan juga ciri-cirinya sama ada laman web itu berunsurkan blog, forum, komuniti dan sebagainya.
Dalam identiti laman web, terdapat ciri-ciri yang mungkin berubah mengikut perkembangan dan terdapat ciri yang tidak boleh diubah. Antara ciri yang boleh diubah ialah reka bentuk dan juga konsep. Tetapi perubahan yang dilakukan janganlah terlalu radikal kerana pada awal pembinaan kita telah menentukan identiti laman web kita jadi perubahan yang radikal mungkin akan mengurangkan identiti tersebut. Walau bagaimanapun, ciri seperti nama domain dan juga topik laman web memang tidak boleh diubah. Kita mungkin boleh menambah topik-topik yang berkaitan ataupun lebih menumpukan kepada sesuatu topik tetapi jangan sesekali menukar sama sekali topik asal laman web. Tambahan pula apabila laman web tersebut mempunyai domain yang berkaitan dengan topik asal dan juga sudah mempunyai pengikutnya sendiri.
Sebagai contoh, kita lihat apa yang berlaku kepada SpyMac. Laman web ini diwujudkan pada tahun 2001 dan konsep asalnya ialah laman web yang memaparkan berita-berita (dan juga khabar angin) berkaitan dengan Apple dan Mac. SpyMac menjadi antara laman web komuniti Mac yang terbesar di mana ia mempunyai ahli melebihi sejuta orang. Ia kemudiannya mula menambahkan fungsi-fungsi laman webnya seperti memberikan ruang untuk ahlinya menyimpan file secara percuma, webmail yang bersaiz 1GB (ya, mereka yang pertama sebelum google) dan lain-lain servis tambahan. Servis-servis ini walaupun sudah tidak berkaitan dengan konsep asal laman web tetapi masih diterima oleh ahlinya.
Walau bagaimanapun, pada awal tahun 2007 SpyMac telah mengambil langkah drastik dengan menukar keseluruhan konsep daripada laman web komuniti untuk pengguna mac kepada laman web untuk pelawat menghantar video, gambar dan juga mempunyai ciri-ciri seperti myspace. Laman web lama untuk pengguna mac telah ditukarkan ke http://classic.spymac.com dan walaupun ianya masih kekal, tetapi pihak pengurusan SpyMac telah memaklumkan yang mereka tidak lagi memberikan tumpuan kepada bahagian ini sebaliknya laman web utama yang diberi nama SpyMac LeapFrog yang akan diberi perhatian. Sekali imbas jelas dilihat bahawa SpyMac ingin menandingi YouTube, Flickr dan juga MySpace malangnya mereka bertanding dengan laman web yang sudah mempunyai identiti dan pengikutnya tersendiri dan lebih malang lagi, SpyMac meninggalkan terus identiti asal yang memberi kejayaan kepada mereka sebelum ini. Dan sekarang, kebanyakan ahli lama SpyMac telah meninggalkan laman web tersebut dan mereka masih lagi terkial-kial untuk menandingi kehebatan YouTube, Flickr dan juga MySpace dalam arena perkongsian video, gambar dan juga social network.
Jadi di sini kita dapat melihat apakah kesannya apabila kita menukar dengan drastik ciri-ciri yang menjadi identiti laman web kita. Jika kita mempunyai idea baru yang berlainan dengan laman web asal, sebaik-baiknya mulakan laman web baru dan gunakan pengalaman menguruskan laman web sebelumya untuk menjayakan laman web tersebut.

Kerana nila setitik
Rasanya semua orang tahu tentang pepatah ini kan? “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Tapi, apa kaitannya pepatah tersebut dengan artikel ini?
Pada minggu lepas telah berlangsungnya Consumer Electronic Show (CES 2008) bertempat di Las Vegas Convention Centre. Acara ini merupakan antara acara yang terulung dalam dunia elektronik / teknologi di mana syarikat-syarikat besar seperti Motorola, Microsoft, Apple, dan lain-lain lagi mengambil peluang mempromosikan produk-produk terkini mereka. Acara ini juga merupakan acara ekslusif di mana ia tidak terbuka kepada umum dan hanya terbuka kepada golongan profesional di mana bayarannya juga agak tinggi.
Pihak akhbar, majalah dan juga blogger telah di beri kebenaran untuk membuat liputan ekslusif. Antara blogger yang diberikan hak tersebut adalah blogger dari Gizmodo. Seperti mana yang diketahui, Gizmodo merupakan antara blog yang terunggul di dalam memaparkan artikel-artikel dan juga berita-berita terkini tentang teknologi dan elektronik. Malangnya, blogger Gizmodo telah menyalahgunakan hak yang diberikan kepada mereka dengan melakukan sesuatu yang pada anggapan mereka lucu dan hanya untuk bergurau tetapi sebaliknya telah menganggu acara yang dijalankan termasuklah presentation yang sedang dilakukan oleh pihak Motorola.
Apa yang mereka lakukan ialah menggunakan sejenis universal remote (TV-B-Gone) untuk menutup skrin-skrin televisyen di CES termasuklah skrin yang sedang digunakan oleh beberapa pihak untuk mempersembahkan produk-produk terkini mereka kepada golongan profesional. Pihak-pihak ini telah membayar ratusan ribu ringgit (malah ada yang melebihi satu juta ringgit) kepada pihak CES untuk menyertai acara ini dan mempromosikan produk mereka. Jadi sudah tentulah apabila persembahan mereka diganggu ia memberikan imej yang buruk kepada pihak penganjur CES.
Mungkin gangguan ini tidak diketahui jika blogger Gizmodo tidak menulis tentang hal ini (dengan bangganya?) di blog mereka. Tetapi mereka telah menulis dan memohon maaf kepada pihak terbabit kerana mereka beranggapan gangguan mereka tersebut adalah sekadar gurauan sahaja. Malangnya, majoriti pelawat Gizmodo tidak beranggapan demikian di mana mereka menganggap tindakan tersebut sebagai kebudak-budakan. Blogger-blogger lain juga tidak bersetuju kerana beranggapan tindakan tersebut memberikan nama buruk kepada blogger dan bimbang pada masa hadapan blogger tidak lagi dijemput untuk membuat liputan dalam acara-acara sedemikian. Ternyata kebimbangan blogger-blogger tersebut memang berasas kerana blogger Gizmodo telah diban dari CES untuk masa hadapan dan kemungkinan akan di saman.
Walaupun blogger di Malaysia belum lagi mencapai status seperti blogger di luar tetapi saya percaya satu hari nanti blogger di Malaysia juga akan diberi pengiktirafan yang sama. Jadi apa yang dilakukan oleh blogger Gizmodo tidak harus diikuti. Sebagai blogger kita harus mengganggap diri kita sebagai wakil media yang professional. Walaupun kita boleh melaporkan perkara-perkara negatif terhadap sesuatu pihak di dalam blog kita, tetapi perkara tersebut merupakan hak kita sebagai penulis yang bebas. Sebaliknya menganggu acara yang sedang dijalankan boleh dianggap sebagai penganggu ketenteraman awam.

Dari Windows ke Mac
Hari ini saya akan memulakan satu siri artikel yang dinamakan dari Windows ke Mac. Siri artikel ini merupakan pengalaman saya sebagai seorang pengguna Windows sebelum ini yang baru beralih ke Mac. Dari apa yang saya lihat, saya rasa kurang (atau tidak ada langsung) artikel / tips / panduan tentang Mac di dalam Bahasa Melayu. Perkara ini mungkin disebabkan oleh kurangnya pengguna Mac di Malaysia dan di kalangan orang Melayu terutamanya. Jika ada pembaca yang mengetahui tentang laman web, blog atau forum yang berkaitan dengan Mac di dalam Bahasa Melayu, sila maklumkan di ruangan komen.
Antara topik-topik yang akan saya sentuh ialah apakah perisian-perisian Mac yang saya gunakan setiap hari di dalam melakukan kerja saya, tips-tips ringkas dan juga perbandingan antara Windows dan Mac. Tetapi ini bukanlah bermaksud yang blog ini akan bertukar fokus sebaliknya siri artikel Dari Windows ke Mac ini hanyalah merupakan artikel selingan di mana topik-topik berkaitan pembangunan web dan perniagaan internet tetap di beri keutamaan.
Perisian pertama yang ingin saya sentuh hari ini ialah Things, iaitu satu perisian yang masih lagi berada di tahap alpha. Things merupakan satu perisian GTD (getting things done) di mana kita boleh menyenaraikan senarai-senarai tugas yang kita perlu lakukan mengikut projek, keutamaan, tarikh dan lain-lain lagi. Saya memang seorang yang mengamalkan prinsip GTD ini di dalam melakukan tugas-tugas seharian. Sebelum ini saya menggunakan Vitalist untuk menguruskan perkara tersebut tetapi memandangkan terdapat begitu banyak pilihan perisian GTD untuk Mac OS X, saya berpendapat menggunakan perisian desktop lebih baik dari perisian web.
Buat masa sekarang, Things boleh didapat secara percuma tetapi apabila ia sudah mencapai tahap stabil (dijangka pada bulan Mac / April) ianya akan dijual pada harga $49

Soalan pembaca
Sudah agak lama saya tidak menulis untuk ruangan soalan pembaca. Kali ini saya ingin menjawab soalan dari Ahmad Ridzuan yang bertanyakan beberapa perkara tentang direktori.
Assalamualaikum Alang,
Saya sudah membaca artikel yang ditulis mengenai direktori dalam blog
Alang.Saya saya memang kesini untuk mencari maklumat untuk saya memulakan tapak
dalam web direktori.Dan semestinya target saya direktori berbayar.Soalan saya,
1)Adakah Alang membina sendiri direktori atau pun outsource?
2)Saya sebagai seorang pelajar lagi,dan mengikut pengalaman Alang berapakah
nilai minimum untuk saya membina sebuah direktori yang bagus.3)Terakhir dari saya.Jujur saya beritahu bahawa saya takut jika saya membuat
investment untuk web direktori namun tiada mendapat hasilnya.Jadi saya ingin
meminta panduan atau buah fikiran dari Alang.
Dan berikut adalah jawapan saya untuk soalan di atas.
1) Saya tidak membina sendiri direktori sebaliknya saya hanya memikirkan idea, konsep yang saya inginkan dan menggunakan programmer serta designer profesional untuk menghasilkannya. Terdapat juga direktori yang saya guna script yang sudah sedia ada iaitu SZAB Web Directory di mana saya menggunakan PHP Link Directory. Lain-lain direktori seperti Ventedoy, Dare2bid dan juga Dare Directory semuanya menggunakan custom script yang dihasilkan oleh programmer berdasarkan idea dan ciri yang saya kehendaki. Tujuan saya menggunakan script sendiri adalah untuk kelainan dan juga script sedia ada tidak mempunyai ciri-ciri yang saya mahukan.
2) Sebenarnya tidak ada nilai minimum untuk membina direktori kerana kosnya adalah berterusan. Setelah anda siap membina direktori anda perlu mempromosikannya kerana tanpa promosi sukar untuk anda mendapat pelawat dan seterusnya pembeli yang ingin membeli listing di direktori anda. TIdak seperti laman web lain, boleh dikatakan hampir kesemua direktori adalah sama kerana isi kandungannya adalah senarai laman web yang diletakkan mengikut kategori jadi jika direktori anda tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, sukar untuk anda mendapat submission. Tapi secara rambangnya saya anggarkan kos untuk membina direktori adalah $500 USD sekiranya anda menggunakan script sedia ada atau lebih dari $1500 jika anda menggunakan custom script. Untuk kos bulanan pula sekurang-kurangnya $100 USD untuk setiap direktori bagi tujuan promosi dan pengiklanan.
3) Saya akui memang sukar untuk mendapat hasil dari direktori. Persaingan adalah terlalu tinggi kerana tidak seperti website lain, hampir semua orang boleh membina direktori kerana ianya terlalu mudah. Beli domain, install script dan senaraikan laman web. Apa yang membezakan direktori yang berjaya dengan direktori lain ialah reka bentuk yang menarik, promosi dan juga kualiti laman web yang disenaraikan. Jadi jika and memikirkan untuk membina direktori dan mendapat hasil saya nasihatkan anda tidak melakukannya. Binalah laman web yang lain terlebih dahulu seperti blog yang dapat menjana pendapatan dari beberapa sumber. JIka anda sudah mempunyai modal yang agak tinggi dan juga pengalaman di dalam mempromosi laman web, barulah anda boleh membina direktori.
Saya harap jawapan yang saya berikan di atas dapat menjawab soalan saudara. Sebenarnya saya sudah banyak menulis tentang direktori di blog saya dan saudara boleh membacanya di sini.



















